Suratku Untukmu

Wahai kamu yang bersedih,
Sungguh aku tahu apa maknanya sedih itu. Air matamu seakan sudah terlalu berat untuk ditampung. Suaramu juga sudah tidak mampu melantun. Semuanya dek perasaan yang membungkam di dalam hatimu. Sungguh aku tahu, kerana setiap dari kita pernah merasakannya. Siapa sahaja yang tidak pernah merasa kesedihan? Pun begitu, aku tahu penyebab kesedihan setiap dari kita itu tidak sama..Hanya saja aku ingin kamu tidak lupa, bahawa semua pasti di ujiNya. Bukankah Dia telah berfirman:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata: kami beriman, sedangkan mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan)?" [AlAnkabut:2]

Wahai kamu yang kecewa,
Ketika insan disekelilingmu berubah. Tika insan yang kau kira akan sentiasa di sisimu tiba-tiba menjauh. Dan tika yang kau sayangi diambil dari genggamanmu.. Jangan pernah lupa bahawa adanya Dia sentiasa memerhatikanmu dengan penuh kasih sayang. Jangan pernah menyangka bahawa Dia menzalimimu. Jangan pernah merasa Dia menghukummu. Sungguh, Dialah yang sentiasa berada di sisimu ketika yang lain pergi meninggalkanmu. Hati manusia itu berbolak-balik, usah mengharap pada mereka. Sandarkan dirimu pada Yang Esa. Tika Dia menjauhkan mereka yang kau sayangi daripadamu, itu hanya kerana mereka bukanlah yang baik untukmu. Justeru redhalah...Bukankah Dia telah berfirman:

"Barangkali kamu membenci sesuatu, sedangkan ia baik bagimu. Dan barangkali kamu menyukai sesuatu, sedangkan ia buruk bagimu. Allah mengetahui,sedangkan kamu tidak mengetahui.." [AlBaqarah: 216]

Wahai kamu yang buntu,
Saat sekeliling rasa kelam. Saat sepertinya tiada jalan keluar. Saat terasa seolah tidak tahu arah ke mana harus dituju.. Maka saat itulah kamu harus bangkit disepertiga malammu, istikharahlah padaNya. Mohonlah petunjuk dariNya. Sungguh, saat itulah Dia merindukan rayuan kasihmu. Tidak diciptakanNya masalah tanpa jalan penyelesaian. Tidak dikirimNya ujian tanpa kiriman bantuanNya. Hanya saja itu jalanNya menyirammu dengan kasih sayangNya. Agar sentiasa dekat denganNya. Yakinlah, bahawa tidak dibiarkanNya kamu menunggu dengan lama melainkan untuk menyediakan yang teristimewa untukmu. Lalu bertahanlah terus dengan berdoa. Usah mengalah dengan bisikan syaitan..Sungguh, ingatlah dia telah berfirman:

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya" [ AtTalaq: 2-3]

Akhir sekali, aku ingin sekali mengingatkanmu bahawa tidak diberikannya kesedihan, kekecewaan, dan kebuntuan melainkan  untuk menghadiahkan untukmu kegembiraan, kebahagiaan, dan penyelesaian...Ku mohon kamu tidak berputus asa dan berterusan dalam rendaman air mata. Tersenyumlah kerana Dia memandangmu dengan penuh kasih sayang. Berbahagialah kerana Dia yang Maha Penyayang, menyayangimu sentiasa...


Yang Benar,            
Fazlina               
(Insan yang pernah terluka)

0 comments: