Yang Terlupakan

Usai solat Isyak, aku segera mencari handphoneku. Memandang skrin sambil tersenyum. Mesej daripadanya sentiasa membuatku tersenyum sedang hati berlagu riang. Beberapa jam tanpa mesej mahupun panggilan darinya membuatkan aku merasa tidak keruan. Bagaikan semuanya serba tidak kena bagiku. Dialah yang mewarnakan hidupku sehari-hari. Dialah yang aku tunggu-tunggu selama ini dalam hidupku. Senyuman mekar sentiasa menghiasi wajahku setiap kali dia bermain difikiranku. Rasa dihati yang berbunga-bunga seolah-olah tiada apa lagi yang perlu difikirkan selain dia. Bahagianya kurasa tika dia hadir dalam hidupku bahkan menjemput aku ke dalam hidupnya. Namun, kadangkala bila dia mengungkapkan kata-kata cintanya padaku, aku seperti merasa ingin menangis. Aku pasti ia bukan kerana terharu tetapi ada sesuatu perasaan yang begitu menusuk kalbuku. Perasaan yang membuatku kadangkala jadi sedih tanpa sebab yang pasti. Pun begitu,aku biarkan sahaja perasaan itu pergi sendiri…

Petang-petang begini terasa ringan pula tanganku mengemas susunan buku-buku kepunyaanku. Sedang leka membelek-belek buku-buku, aku terpandangkan sebuah buku nota kecilku. Lama merenung, perlahan-lahan aku menyelak helaiannya. Segera ingatanku berputar ligat,inilah kehidupanku dulu. Ya, dulu aku ke sana ke mari dengan nota kecil ini. Mencatat setiap yang aku dengar yang pastinya sangat berguna dan bermakna. Jauh lebih bernilai dari panggilan-panggilannya. Jauh lebih bermakna dari mesej-mesej cintanya. Jauh…ya,jauh rupanya telah aku melangkah. Hatiku diserbu kerinduan. Aku rindu peringatan-peringatan yang dulu selalu kudengar, rindu pada tarbiah yang dulu mengelilingiku, rindu pada kerja-kerja yang dulu menyibukkanku… Sungguh, air mata ini juga sudah lama tidak mengalir. Betapa itulah kehidupanku dulu dan nota kecil inilah yang telah mencatat segala-galanya tentang sebuah perjalanan yang pernah kulalui dulu. Ya Allah, aku rindu…

Aku ingin sekali kembali pada diriku yang dulu. Rupanya hati ini rindu pada diri sendiri. Aku sedar aku bukanlah sebaik sahabat-sahabatku, tapi setidaknya aku cuba memperbaiki diriku, tidak seperti sekarang… Cinta yang hadir membuatku terlupa pada Dia yang menganugerahkan cinta itu. Aku lupa kasihNya yang lebih dulu dan sentiasa bersamaku di saat aku terasa kesendirian. Aku lupa kekasih sejati itu… Ya Rahman, bantulah aku mencari jalan pulang kepadaMu…Sungguh, aku ingin kembali kepadaMu lagi…..

Saat itu...

Perlahan kubuka mata…

Serasa gelap keliling ini…

Dimanakah aku kini?

Kucuba paling ke kiri dan kananku…

Tapi aku tak bisa…

Sedang aku lelah,

Aku terdengar tangis di hujung penjuru…

Namun tak bisa kulihat…

Sejurus ada bacaan begitu mengalun…

Begitu aku sedar…

Lantas air mataku berderai…

Wajah-wajah terlintas dibayangan…

Masih ada maaf yang belum kuucap…

Masih ada khilaf yang belum kubetulkan…

Masih ada kewajipan yang tidak terlunaskan…

Inikah pengakhiranku…?

Tidak adakah kesempatan …

Buatku kembali lagi..?

Aku ingin sekali ucapkan maafku…

Aku ingin sekali perbetulkan khilafku…

Aku takut pertanyaanMu…

Lantaran kewajipan yang Kau beri telah kuabaikan…

Tiadakah kesempatan lagi untukku..?

Aku mohon ya Allah…

Kurniakan aku kesempatan itu……….


“Demikianlah keadaan orang yang tidak beriman, hingga apabila datang kematian kepada seseorang di antara mereka, dia berkata: Ya Tuhanku,kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku bisa berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan…”(Surah almu’minun 23: 99-100)

NA’UZUBILLAH….

KITA & VIVA

Menanti saat untuk viva semestinya menggerunkan kebanyakan pelajar tahun akhir…lebih-lebih lagi aku… Sejenak aku berfikir, sebenarnya viva tidak jauh bezanya dengan satu masa yang akan kita semua tempuhi nanti…masa apa?saat di mana kita ditanyakan setiap perbuatan kita di dunia nanti….Bila viva, kita akan disoal satu-persatu setiap lembaran yang telah kita siapkan bertungkus-lumus itu… Saat itu kita terpaksa menjawab segala apa yang telah kita buat dan setiap satunya kita kena bertanggungjawab… Tidak jauh bezanya dengan saat kita dipersoalkan mungkar dan nangkir di alam barzakh nanti kan?? Setiap apa yang kita buat di dunia akan dipersoalkan…apa yang kita buat dengan umur yang kita ada?apa yang kita buat dengan harta yang kita ada?Apa yang kita buat dengan tubuh badan kita yang cukup sempurna Dia kurniakan?adakah kita telah melakukan amal dengan umur, tubuh badan dan harta yang telah dikurniakan kepada kita?adakah kita mensia-siakan umur, tubuh badan dan harta yang kita ada dengan perkara yang tidak berfaedah?...dan saat itu pun kita harus menjawab segala persoalan yang diajukan kepada kita…

Tetapi, tahukah sahabat-sahabat sekalian apa bezanya?? Bezanya bila kita membuat kesilapan dalam projek penyelidikan tahun akhir kita, kita masih boleh membuat pembaikan semula setelah kita dipersoalkan semasa viva…tetapi bagaimana jika kita membuat kesilapan di dunia dan hanya menyedarinya setelah di alam barzakh??KITA TIDAK MAMPU BERBUAT APA-APA LAGI… Nauzubillah…Saat itu kita hanya mampu menyesalinya sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran:

“Dan alangkah ngerinya jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka lalu berkata: Ya Tuhan kami,kami telah melihat dan kami telah mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan melakukan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin..” (Surah AsSajdah 32:12)

Semoga kita semua dijauhkan daripada menjadi golongan di atas,amin…Justeru,sahabatku sekalian marilah kita sama-sama muhasabahkan diri dengan segala apa yang telah kita lakukan sepanjang kita berada di atas muka bumi ini…mungkin esok,lusa ataupun sekejap lagi kita bakal dijemput pergi… Perbetulkanlah diri kita lebih baik dari sebelumnya agar tiada lagi penyesalan di sana nanti,amin...

-Buat diri sendiri dan sahabat-sahabat-


Air botol! Kerepek!

Kulihat seorang lelaki masuk ke dalam bas yang sedang aku duduki. “Air botol..!Kerepek…!”kata-kata itu diulangnya berkali-kali sambil menjaja barang jualannya ,air minuman botol dan kerepek ubi ,di sekitar bas yang sedang menunggu dipenuhi. Kemudian lelaki itu turun dan menjaja pula di bas yang lain di sekitar perhentian bas. Ke sana-sini dengan barang jualannya di hari yang begitu panas terik memandangkan waktu itu sudah menjengah tengah hari. Beberapa minit kemudian, lelaki itu masuk semula ke dalam bas yang aku duduki, menjaja lagi. “Air botol…!Kerepek…!”laungnya lagi berkali-kali. Puas menjaja di sekitar bas, lelaki itu menjaja pula ke bas yang lain. Berkali-kali diulangnya, dari satu bas ke satu bas. Langsung tiada riak wajah berputus asa. Sehinggakan entah yang ke berapa kalinya lelaki itu masuk lagi ke dalam bas yang aku duduki, aku sudah tidak mampu memandangnya lagi… Aku berasa sungguh tersentuh dengan kegigihannya… Sehingga akhirnya bas yang aku duduki itu bergerak meninggalkan perhentian bas itu.

Sememangnya aku tahu apa itu kegigihan, dan aku pasti orang lain juga begitu. Tetapi, baru kini aku betul-betul memahami apa itu kegigihan. Aku terkenang peristiwa semester lepas…waktu itu aku terlalu tertekan dengan projek penyelidikanku hingga aku pernah terfikir untuk menghentikan sahaja pengajianku… Lemahnya aku:'(… Mujur sahabat-sahabatku menasihatiku…Sesungguhnya Allah bersama kita, dan akan sentiasa bersama kita… Kerana yakin Allah itu ada dan sentiasa bersama kitala, kita akan terus gigih… Aku yakin lelaki itu juga begitu…kerana dia yakin rezeki Allah ada di mana-mana, kerana itu dia tidak putus asa dari satu bas ke bas yang lain berulang-ulang kali… Siapa tahu ada penumpang yang baru sahaja memasuki bas itu akan membeli barang jualannya… Atau mungkin ada penumpang yang tiba-tiba terasa haus atau lapar… MasyaAllah… Itulah kegigihan yang aku pelajari hari itu… Gigih kerana kita pasti Tuhan sentiasa bersama kita dan rezekiNya sentiasa melimpah ruah kepada hamba-hambaNya… Wallahua’lam…