Masa Ft. Sabar


Situasi 1
Mak cik: Mak cik dengar kau dah jadi pegawai dah, baguslah  tu…dah berapa lama?
Siti: Ya mak cik, baru je…baru sebulan…

Situasi 2
Pelawat: Kakak apa khabar? Kakak dah lama ke duduk sini?
Pesakit: Dah o.k. sikit, lama dah kat sini.. Dah masuk empat hari..
      *          *          *          *          *          *         
Masya Allah..rupanya bukan cantik sahaja yang  subjektif, bahkan masa pun subjektif. Saya terharu dengan  kata-kata yang terlontar dari pesakit itu. Terasa begitu lama berada di hospital selama empat hari, sedangkan bagi kita yang tidak berada dalam kesusahan merasakan empat hari  cuma sebentar. Acapkali bila kita menerima kesenangan seperti mendapat pekerjaan baik, naik pangkat dan sebagainya, kita merasakan waktu itu cuma seketika. Bahkan tidak kurang juga bila kita menghadapi sesuatu musibah, kita merasakan tempoh itu terlalu lama, contohnya bila kita sedang dalam pencarian pekerjaan. Tempoh beberapa bulan mencari pekerjaan,namun masih belum tiba rezeki kita ataupun dalam penantian jodoh yang belum kunjung bertemu, selalunya pasti membuat kita rasa lemah hati. Kita berasa seolah-olah sudah begitu lama menunggu sedang ada orang lain di luar sana tidak mampu mencari pekerjaan pun kerana tidak sempurna anggota ataupun menghidap sakit kronik. Barangkali juga ada orang lain di luar sana yang sudah bertahun-tahun lebih lamanya menanti jodoh mereka yang belum kunjung tiba. Sesetengah perkara yang kita anggap berat, mungkin tidaklah seberat mana jika dibandingkan dengan yang dihadapi orang lain…

Kadang-kadang kita terlupa atau tidak sedar bahawa sesukar mana pun masalah kita, ada insan lain yang menghadapi masalah yang lebih sukar dari kita. Contoh paling jelas adalah apabila kita merasakan kemiskinan hidup yang kita alami sangat menyesakkan dada kita, sedangkan ketika ini saudara-saudara kita di Palestin sedang hidup jauh lebih susah dan sengsara dari kita ditambah lagi dengan ketiadaan ibu, bapa mahupun saudara-mara. Bahkan juga saudara-saudara kita di Myanmar yang dinafikan hak, hidup dalam kepapaan, malah dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Di saat kita merasa sekejapnya masa setahun berlalu, sedarkah kita bahawa selama 365 hari itulah saudara-saudara kita itu hidup dalam kedukaan dan kesusahan? Bukankah kita jauh lebih beruntung?  Ucaplah ALHAMDULILLAH dikala senang mahupun susah, kerana dalam kesusahan yang kita alami juga pasti ada hikmahnya. Hikmah yang kita mungkin tidak tahu sekarang tetapi mungkin suatu hari nanti. Apa yang harus kita buat adalah SABAR dan PERCAYA KEPADANYA. Sabarlah dalam kesusahan yang dihadapi dan letakkan sepenuh kepercayaan kita kepadaNya bahawa dia telah memberikan yang terbaik buat kita. LA TAHZAN WALA TAKHAF, INNALAHA MAANA( jangan bersedih dan jangan takut, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita)…