CINTA SEORANG GURU TADIKA

PART 2


Aku memandang gambar-gambar dalam galeri handphoneku. Banyak kenangan yang menerpa dimindaku. Ada yang manis, ada yang pahit. Adakala aku tersenyum dan adakala aku rasa ingin menangis. Rindu rasanya bergelak ketawa dengan rakan sekerja dek telatah anak-anak. Rindu juga menangis bersama bila dugaan menimpa. Siapa sangka dalam profesion guru tadika ini tidak lari dari politik tempat kerja. Ada juga segelintir yang gemar mengampu boss, tunjuk rajin depan-depan dan memburukkan yang lain. Tetapi hakikatnya umpama tin kosong. Ada pula segelintir pengusaha tadika yang terlalu mengaut keuntungan hinggakan mengabaikan kebajikan anak-anak, apatah lagi pekerja. Yuran persekolahan cukup tinggi, tetapi perbelanjaan makanan untuk anak-anak diminimakan demi memaksimakan keuntungan. Kami sebagai guru tadika hanya mampu memandang dengan belas kasihan, jika ada rezeki lebih kadangkala kami membelikan mereka makanan sedikit mewah dengan wang sendiri. Bukan tidak pernah bersuara, tetapi suara tidak didengar. Malah, dilabel pula rebellious. Aku pernah ditamatkan kontrak perkhidmatan gara-gara berani bersuara sebegitu. Aku bukan mahu berlagak hero atau seumpamanya, tetapi aku tidak mahu di akhirat kelak aku dipersoalkan kerana membisu dengan perkara yang tidak sepatutnya. Amanah itu paling berat di akhirat nanti, aku sudah terlalu banyak dosa untuk ditambahkan lagi. Namun, tidak semua pengusaha tadika sebegitu, masih ada ramai lagi yang menjaga kebajikan anak-anak dan tidak mementingkan keuntungan.


Setelah kecewa dengan tadika pertama, hampir saja aku ingin u-turn kembali ke bidangku, dan lari dari bidang pendidikan awal kanak-kanak. Akan tetapi, ternyata hatiku masih dibidang ini. Tatkala aku menerima tawaran kerja dari tadika lain, aku cuba menguatkan hatiku semula demi cinta ini. Syukur, aku peroleh banyak memori manis di tadika kedua ini. Rakan sekerja yang baik dan gila-gila. Ketua yang baik. Akan tetapi setelah dua tahun, kontrak aku ditamatkan lagi dan kali ini kami semua sekaligus. Semuanya gara-gara masalah diantara shareholders tadika itu. Kecewa? Sudah tentunya dan untuk terluka kali kedua itu sangat pedih bagiku. Jujurnya aku mulai mempersoalkan hala tujuku selepas ini. Wajarkah aku masih terus berharap dalam bidang ini? Ikutkan hatiku, aku ingin lari dari bidang ini. Kecewa seumpama tawar hatinya orang yang putus cinta berkali-kali. Mungkinkah ini caranya Tuhan memberitahuku untuk berhenti dari bidang ini? Ataukah ini caranya Tuhan menguji cintaku sebagai seorang pendidik? Bertalu-talu persoalan ini dimindaku. Aku sendiri tidak tahu. Akan tetapi aku yakin, ada hikmah atas semua ini. Meskipun sakit yang aku rasakan kini, aku tahu ada kemanisan yang Dia simpan untukku nanti.


Aku memandang skrin laptop dihadapanku, cuba mencari-cari jawatan kosong yang sesuai dengan kelayakanku. Hampir setiap hari aku sebegini. Sudah menjadi rutinku semenjak beberapa minggu ini. Namun satu perkara yang aku sedari setiap kali diakhir pencarianku, jawatan yang ku cuba jejaki tidak lain adalah 'guru tadika'. Sukar untuk aku nafikan, aku rindu melayan telatah anak-anak kecil. Terlebih lagi, anak-anak saudaraku jarang-jarang balik ke sini. Ternyata aku rindu profesion itu. Aku rindu membebelkan anak-anak kecil. Aku rindu tawa yang lahir dari karenah mereka. Sungguh, hatiku masih setia. Cintaku masih sahaja tidak berubah. CINTA SEORANG GURU TADIKA...


0 comments: