Cinta seorang Guru Tadika

PART 1

Aku melangkah laju ke kelas. Anak-anak kecil itu memandangku sambil tersengih-sengih. Barangkali tercuit hati memandangku yang terkocoh-kocoh. Jadual waktu yang padat dan kerja yang berbaris menunggu, hilang dari fikiran tatkala memandang anak-anak ini. Terkadang melayan mereka bermain juga menghilangkan garis duka di hatiku ini. Siapa kata menjadi guru tadika ini kerjanya senang? Sebelum aku terjun ke bidang ini, aku juga bersangka sedemikian. Hakikatnya, hanya yang menjalani sahaja yang faham. Bukan sekadar mengajar ABC,atau 123. Mengajar mereka cara memegang pensel, mengenal bunyi huruf, adab makan, adab ke tandas, dan seumpamanya. Mungkin sesetengah orang akan berfikir, sama sahaja seperti menjaga anak sendiri. Trust me, its not. Anak-anak ini dari keluarga yang berbeza, cara didikan tidak sama. Cara pendekatannya juga harus pelbagai. Anak-anak ini juga bukan seorang dua mudah difokus, tetapi lebih dari sepuluh sekaligus. Pelbagai karenah harus dihadap setiap hari. Aku masih ingat sewaktu mula-mula 'terjun' ke bidang ini, hampir saja aku berputus asa kerana ia tidak semudah yang aku bayangkan. Namun, lama-kelamaan aku mula jatuh cinta kepada bidang ini. Tanpa aku sedari, ia menjadi 'darah daging' kepadaku.


Seusai kelas, aku melangkah pula ke tandas. Sekarang waktunya anak-anak fullday untuk mandi. Sesekali membebel kerana mereka bermain air dan terlompat-lompat di dalam bilik air. Khuatir nanti ada pula yang tergelincir jatuh. Serasaku perkara yang paling memenatkanku dalam kerja ini adalah membebel hampir sepanjang hari. Masakan tidak, jikalau tidak ditegur memang tidak akan berhenti. Aku pula sebenarnya sejenis yang pendiam dan tidak suka banyak bercakap, apalagi marah-marah begitu. Maka itu, membebel sebegitu sangat mengerah kudratku. Akan tetapi menghadap anak-anak ini, meski dalam keadaan marah ataupun penat tetap mampu mengukirkan senyumanku melihat telatah mereka. Ada sahaja karenah mereka yang mencuit hati. Kadang daripada marah menjadi ketawa. Namun terkadang aku kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa. Ada yang terlalu sibuk mengejar dunia, sehingga ada yang terlupa mengambil anak di sekolah. Ada anak yang menunggu hingga ke senja. Aku takut di masa depan, wujud generasi yang menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan dek kerana 'teladan' yang mereka lihat sewaktu kecil. Ada pula ibu bapa yang terlalu protective sehingga menuduh kami sebagai guru tadika atas perkara-perkara yang tidak berasas.  Aku masih ingat seorang ibu yang menghubungiku mengatakan anaknya menangis setiap kali mahu membuang air kecil seolah telah dipukul. Terkesima aku sebentar, memegang rotan sahaja kami dilarang apatah lagi memukul anak kecil. Rotan yang ada cuma untuk menakutkan semata-mata. Dipendekkan cerita, akhirnya doktor mengesahkan anak itu mengalami masalah jangkitan di bahagian sulitnya kerana kurang meminum air dan tabiatnya sering menahan kencing. Kadang ada pula tidak puas hati kerana anak mereka ditegur, katanya takut anaknya tidak mahu ke sekolah. Lalu apa gunanya anak ini ke sekolah, kalau menegur untuk mendidik itu tidak boleh? 


Aku juga masih ingat ketika aku mula-mula menjadi guru tadika, setiap kali ada yang bertanyakan pekerjaanku pasti aku mendapati riak wajah yang memandang rendah profesion ini. Sewaktu mula-mula dulu, aku merasa sangat rendah diri dengan profesion ini. Kerana apa? Kerana pandangan orang, "senang sahaja kerja guru tadika tu". Akan tetapi kini aku tidak lagi bersa rendah diri, malah aku berasa bangga dengan kerja ini. Meskipun mungkin inilah kerjaku sehingga aku tua ataupun meninggalkan dunia ini. Banyak pahalanya untuk bekalanku yang banyak dosa ini. Dan sesungguhnya, dalam aku mendidik anak-anak kecil ini justeru aku yang menjadi lebih terdidik secara tidak langsung. Inilah salah satu cintaku, CINTA SEORANG GURU TADIKA.

0 comments: