Kesetiaan seringkali dikaitkan
dengan perhubungan cinta dan persahabatan. Memang tidak dinafikan, kesetiaan
merupakan elemen penting dalam kedua-dua perhubungan ini. Tanpa kesetiaan
percintaan dan persahabatan tidak akan ke mana. Tetapi pastikah semua dari kita
benar-benar tahu apa itu makna kesetiaan? Barangkali kita boleh mempelajari
makna kesetiaan daripada kisah seekor anjing.
Suatu ketika dulu, seekor anjing meredah dingin pagi mengekori langkah
tuannya menuju ke stesen keretapi. Hari itu tuannya bertolak ke luar kota atas
urusan penting. Sebelum melangkah naik ke dalam perut kereta api, tuannnya
sempat membelai-belainya sambil anjing tersebut menjilat-jilat tangan tuannya.
Keesokannya, anjing tersebut meredah kedinginan pagi sekali lagi menuju ke stesen
kereta api untuk menyambut kepulangan tuannya. Setibanya kereta api, anjing
tersebut mencari-cari wajah tuannya dicelah-celah penumpang yang ramai.
Beberapa lama mencari, wajah yang dicari tidak ditemuinya. Anjing tersebut
pulang kehampaan. Esoknya, anjing tersebut sekali lagi meredah dinginnya pagi
menuju ke stesen kereta api bagi menyambut tuannya. Bagaimanapun, sekali lagi
anjing tersebut hampa. Begitulah juga hari-hari berikutnya sehingga anjing
tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir di stesen kereta api tersebut,
namun tuannya tetap tidak kunjung tiba. Sebenarnya tuannya telah menghembuskan
nafas terakhir di luar kota akibat serangan jantung dan dikebumikan di situ...
Setianya seekor anjing kepada tuannya, kerana dia tahu dia lebih
beruntung diambil tuannya. Diberikannya tempat tinggal dan makanan setiap hari.
Setianya seekor anjing, tetap bersungguh berkhidmat kepada tuannya menjaga
rumah daripada bahaya meskipun anjing itu cuma diberi makan dua kali sehari dan
tinggal di luar rumah yang kadangkala panas dan kadangkala kedinginan. Namun,
malangnya kita manusia yang Allah berikan tempat tinggal yang melindungi kita
dari hujan dan panas serta makanan yang begitu banyak tidak sesetia itu kepada
Tuhan kita. Amanah yang diberikanNya kepada kita, tidak pula dilakukan dengan
baik tetapi amanah manusia lebih dipentingkan. Banyak sekali dari kita yang
datang ke pejabat pada awal waktu, tetapi sedikit sekali dari kita solat pada
awal waktu. Berapa banyak ibu bapa yang melakukan tugas kerjaya dengan bersungguh-sungguh,
tetapi sedikit sekali yang menjaga tanggungjawab sebagai ibu bapa yang
dikurniakanNya.
Begitu juga dengan remaja masakini, ramai sekali yang setia kepada
kekasih tidak halalnya sehingga sanggup berkorban segala-gala, namun sedikit
sekali yang berkorban nafsu remajanya demi Kekasih Abadi. Berapa ramai yang
menjadi hamba fesyen, malangnya sedikit sekali yang menyahut suruhanNya menutup
aurat. Berapa ramai yang membuang masa ke sana sini bersama kekasih tidak
halalnya, tetapi sedikit sekali yang mengisi masa dengan mencari ilmuNya.
Nauzubillah… Ayuhlah kita semua menjadi hamba yang setia kepada Sang
Pemiliknya. Kerana kita ini miliknya. DariNya kita datang, kepadaNya kita
kembali… Dan bahawasanya dunia fana ini cumalah sementara…..
"Aku belajar tentang taqwa melalui kesetiaan seekor anjing terhadap tuannya"(Saidina Ali)
2 comments:
Tersentuh baca kesetiaan anjing pada tuan dia :)
setia seekor anjing kepada tuannya kadangkala lebih baik daripada kesetiaan kebanyakan insan kepada Tuhannya...:')
Post a Comment