Sebuah Ikatan




Aku melangkah longlai menuju ke bilikku. Penat rasanya, bukan kerana penat menyerap ilmu tetapi letih menunggu bas sejak dua jam tadi. Tiba di bilik, aku memandang sekeliling. Terasa kosong.  Ada rasa sebak menyerbu di dadaku. Terasa empangan air mataku ingin pecah lagi. Sudah dua bulan  kekosongan ini di sini. Masih aku terlihat senyumannya, tawanya, dan tutur lembutnya. Aku merebahkan diri ke katilku. Sehari-hariku diisi bersamanya. Setiap perkara kami lakukan bersama, lebih-lebih lagi kami berada dalam jurusan dan fakulti yang sama di universiti ini serta duduk di bilik yang sama. Namun, sejak peristiwa itu tiada lagi dia disisiku. Begitu perit untuk kuterima. Sungguh peristiwa itu masih segar diingatanku…
*             *             *             *             *

“Aku sampai dalam jam 3 petang nanti rasanya…tak sabar nak jumpa lagi ,”mesej darinya membuat aku tersenyum. Aku pun merinduinya. Cuti selama 2 minggu sempena Hari Raya memisahkan kami untuk sementara. “Aku sampai setengah jam lagi…aku tunggu kau di sana nanti,”balasku. Tidak sabar rasanya untuk bertemu semula. Kami telah berjanji untuk pulang ke asrama pada hari yang sama, memandangkan kami juga sebilik. Dia tinggal di daerah yang berbeza dariku meskipun di negeri yang sama. Setibanya aku ke asrama, aku menerima sebuah mesej dari seorang sahabat kami, Nisa. “Nor Hayati mengalami kemalangan dan sedang dirawat di hospital” aku mengerutkan dahiku. “Tak mungkin, baru sahaja tadi kami berbalas sms. Mungkin salah maklumat ni,” aku bermonolog sendiri. Aku terus melangkah ke bilikku dengan selamba. Tiba di bilikku,aku menerima panggilan daripada Nisa. “Kat mana sekarang?”soalnya.”Kat bilik…”jawabku. “Jom pergi hospital sekarang…kami tunggu kat bawah ni”. Aku hanya menurut katanya meskipun dihatiku masih tertanya-tanya kebenaran berita itu. 
Tiba di hospital, kami terus menuju wad perempuan. Aku terlihat beberapa orang sahabat-sahabat kami terpacak di situ. Aku memandang pesakit di katil itu. Yati! Aku hampir tidak percaya dengan apa yang kulihat. Dia tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan. Aku cuma terpacak memandangnya, sedangkan sahabat yang lain sudah pun menuju ke sisi katilnya. Aku tidak mampu menafsirkan perasaanku ketika itu. Tiada air mata yang mahu berderai, tiada senyuman yang mampu terukir, cuma hatiku masih berkata-kata sendiri. “Mimpikah aku? Kalau aku sedang bermimpi, tolong sedarkan aku. Aku tidak inginkan mimpi seperti ini…”kata-kata itu cuma bersuara di hati. Sesedar dari lamunanku, mereka mengajakku pulang ke asrama kerana waktu melawat telah tamat. Aku hanya menurut tanpa sebarang kata bagaikan dirasuk. Malam itu, aku bersolat hajat agar dia sembuh seperti sediakala. Usai solat, aku jadi lebih tenang sedikit. Aku yakinkan hatiku, dia pasti kembali seperti dulu.
Sesedarku ada panggilan yang masuk. “Hello, jom turun kat bilik Alya. Kami semua tunggu..”kata Nisa dihujung talian. Aku memandang jam pada telefon bimbitku. Angka 3: 00 terpapar pada skrin. Aku mengerutkan dahiku. Hatiku mula merasa tidak enak, tetapi tidak berani memikirkan kemungkinannya. Aku turun ke bawah dengan perasaan berbaur. Seketika aku membuka pintu bilik Alya, wajah tiga sahabatku memberitahuku sebuah berita tanpa sepatah kata. Namun, aku masih diam. Masih mahu mendengar sendiri patah kata mereka, meskipun aku bagaikan terasa ingin rebah. “Maya, Yati…”belum sempat ayat itu dihabiskan, air mataku sudah berjuraian. Empangan air mata yang kubina sejak tadi, sudah tidak mampu menahan tekanan perasaan yang ada. Zahra mendekat lalu memelukku. Nisa dan Alya sudah tertunduk menahan tangis sendiri.
*             *             *             *             *
               
          Meskipun sedih itu masih ada dan kesunyian itu masih terasa, aku tahu itu yang terbaik buatnya. Bukan tidak ada sahabat lain yang baik, cuma dia sahabat yang terbaik. Aku pasti bukan aku sahaja yang mengakuinya, bahkan juga sahabat-sahabatku yang lain. Sesungguhnya orang yang baik itu bila tiada dirindui, bila pergi ditangisi.  Namun, kehilangan itu memberi banyak sekali pengertian buatku. Ukhuwwah itu bukan hanya pada pertemuan, bukan pula hanya pada bual mesra atau gurau senda. Bahkan ukhuwwah itu harus ada pada doa tika berjauhan, pada nasihat tika kekhilafan, pada membangkitkan tika kejatuhan, dan pada sangkaan baik tanpa kecurigaan. Kerana jika ukhuwwah itu keranaNya, maka tidak harus ada penghalangnya meskipun ada jarak menjadi pemisahnya … 
    

0 comments: