Masa Ft. Sabar


Situasi 1
Mak cik: Mak cik dengar kau dah jadi pegawai dah, baguslah  tu…dah berapa lama?
Siti: Ya mak cik, baru je…baru sebulan…

Situasi 2
Pelawat: Kakak apa khabar? Kakak dah lama ke duduk sini?
Pesakit: Dah o.k. sikit, lama dah kat sini.. Dah masuk empat hari..
      *          *          *          *          *          *         
Masya Allah..rupanya bukan cantik sahaja yang  subjektif, bahkan masa pun subjektif. Saya terharu dengan  kata-kata yang terlontar dari pesakit itu. Terasa begitu lama berada di hospital selama empat hari, sedangkan bagi kita yang tidak berada dalam kesusahan merasakan empat hari  cuma sebentar. Acapkali bila kita menerima kesenangan seperti mendapat pekerjaan baik, naik pangkat dan sebagainya, kita merasakan waktu itu cuma seketika. Bahkan tidak kurang juga bila kita menghadapi sesuatu musibah, kita merasakan tempoh itu terlalu lama, contohnya bila kita sedang dalam pencarian pekerjaan. Tempoh beberapa bulan mencari pekerjaan,namun masih belum tiba rezeki kita ataupun dalam penantian jodoh yang belum kunjung bertemu, selalunya pasti membuat kita rasa lemah hati. Kita berasa seolah-olah sudah begitu lama menunggu sedang ada orang lain di luar sana tidak mampu mencari pekerjaan pun kerana tidak sempurna anggota ataupun menghidap sakit kronik. Barangkali juga ada orang lain di luar sana yang sudah bertahun-tahun lebih lamanya menanti jodoh mereka yang belum kunjung tiba. Sesetengah perkara yang kita anggap berat, mungkin tidaklah seberat mana jika dibandingkan dengan yang dihadapi orang lain…

Kadang-kadang kita terlupa atau tidak sedar bahawa sesukar mana pun masalah kita, ada insan lain yang menghadapi masalah yang lebih sukar dari kita. Contoh paling jelas adalah apabila kita merasakan kemiskinan hidup yang kita alami sangat menyesakkan dada kita, sedangkan ketika ini saudara-saudara kita di Palestin sedang hidup jauh lebih susah dan sengsara dari kita ditambah lagi dengan ketiadaan ibu, bapa mahupun saudara-mara. Bahkan juga saudara-saudara kita di Myanmar yang dinafikan hak, hidup dalam kepapaan, malah dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Di saat kita merasa sekejapnya masa setahun berlalu, sedarkah kita bahawa selama 365 hari itulah saudara-saudara kita itu hidup dalam kedukaan dan kesusahan? Bukankah kita jauh lebih beruntung?  Ucaplah ALHAMDULILLAH dikala senang mahupun susah, kerana dalam kesusahan yang kita alami juga pasti ada hikmahnya. Hikmah yang kita mungkin tidak tahu sekarang tetapi mungkin suatu hari nanti. Apa yang harus kita buat adalah SABAR dan PERCAYA KEPADANYA. Sabarlah dalam kesusahan yang dihadapi dan letakkan sepenuh kepercayaan kita kepadaNya bahawa dia telah memberikan yang terbaik buat kita. LA TAHZAN WALA TAKHAF, INNALAHA MAANA( jangan bersedih dan jangan takut, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita)…


KeLaNa HaTi

Jauh kelana, aku lelah...
Jauh kelana, aku hampir hilang...
Jauh kelana, aku ingin rebah...
Jauh kelana, aku terkesima...

Rasanya aku ingin menangis
Rasanya aku ingin ketawa
Rasanya aku ingin bersorak
Rasanya aku ingin berdiam...

Begitupun aku tahu
Sungguh Dia Maha Tahu
Dan aku tak tahu
Apa yang Dia tahu...

Dalam sakitnya aku
Ada titip kasihNya
Dalam gembiranya aku
Ada kirim sayangNya...

Alhamdulillah...:')

Sayang...

Sayang….?Bila sebut tentang perkataan ini mungkin ada yang tersenyum, mungkin juga ada yang mencebik…Peliknya antara dengan sedar atau tidak sebenarnya sayang itu juga subjektif. Kenapa? Sebab setiap orang ada definisi sendiri tentang sayang. Sesetengah orang melahirkan perasaan sayang dengan menjaga dan memberikan sepenuh perhatian kepada orang yang disayanginya…Sesetengah orang pula sebaliknya melahirkan perasaan sayang mereka dengan kata-kata kritikan tajam agar orang yang disayanginya berubah menjadi lebih baik…Tidak kurang juga yang tidak percaya dengan perkataan itu disebabkan kekecewaan dari orang yang disayanginya… Kadangkala mungkin kita terlupa bagaimana berbeza pun orang-orang di sisi kita, pasti semua ingin disayangi sama seperti mana kita ingin disayangi… Selalunya kita terlalu memikirkan perasaan kita sendiri sebelum perasaan orang lain… Selalunya kita rasa kita terluka dengan sikap orang-orang yang kita sayangi sedangkan mungkin tanpa kita sedari orang-orang itulah yang sering terluka kerana kita tetapi mereka masih boleh tersenyum kepada kita, bahkan masih boleh berkata “maaf” ketika dia sedari kita terluka kerana sikapnya…

Orang-orang yang kita sayang juga manusia biasa, tidak sempurna seperti kita… Bagaimana kita ingin mereka perlakukan kepada kita, begitulah juga seharusnya kita perlakukan kepada mereka. Usahlah kita terlalu fikirkan perasaan sendiri, bahkan hati kita akan lebih sakit jika kita berterusan begitu. Sayangi mereka sebagaimana kita ingin disayangi, maafkan mereka sebagaimana kita ingin dimaafkan, fahami mereka sebagaimana kita ingin difahami… Bahkan untuk orang-orang yang kita sayangi yang tiada lagi di sisi doakanlah mereka disetiap solatmu, hadiahkanlah Alfatihah dan Yassin untuk mereka di setiap ingatanmu… Semoga kita bertemu semula di alam sana... Malah, jangan dilupa sayangnya Allah kepada kita : “tika kita minta matahari Dia datangkan hujan, kerana sebenarnya Dia ingin hadiahkan kita pelangi….”. Jadilah hambaNya yang taat, bukan sahaja kerana kita hambaNya bahkan kerana membalas kasih sayangNya yang tidak pernah putus buat kita yang selalu melakukan dosa dan melupakanNya… Sayangilah orang-orang yang kita ada lebih-lebih lagi yang menyayangi kita dengan ikhlas, takut-takut dia itu pinjaman singkat dariNya untuk kita… Hargailah mereka selagi mereka di sisi kita, kerana selalunya yang tumbuh takkan sama dengan yang patah…..

-“Senyum tak semestinya gembira, menangis tak semestinya sedih, diam tak semestinya tak mengerti dan ketawa tak semestinya tak terluka…”-

Hati yang sepi...

Aku terpandang sebuah wajah yang begitu bersih. Terasa begitu tenang hati ini rasanya memandang wajah itu sehinggakan tidak sedar senyuman terukir di bibirku. Tetapi, kenapa aku merasakan bahawa semua orang begitu mengagungkan dia...? Aku berlari sekuat hatiku untuk mengejar lelaki itu..sehingga aku terhenti pabila ada suara yang menegurku. "Dia telah pergi... dialah nabi yang terakhir..." Tatkala kupandang ke arah yang ditunjukinya, kulihat seorang lelaki berjubah putih dengan selendang hijau di bahunya berlalu pergi sambil diiringi dengan barisan lelaki-lelaki berjubah putih....
***************
Sejenak kubuka mataku, terasa ada air yang tergenang dipelupuknya. Lalu teduduk aku seketika memikirkan mimpiku tadi. Benarkah aku telah bermimpi engkau ya rasulullah? Terasa ingin menangis aku di kala ini... Layakkah umatmu yang tidak baik ini bertemu engkau meskipun hanya lewat mimpi....? Ataukah engkau ingin memperingatkan aku tentang kekhilafan-kekhilafanku...? Aku sedar aku bukan umatmu yang baik wahai kekasih Allah... Sunnah-sunnahmu jarang aku amalkan... Banyak hadis-hadismu yang tidak ku dalami lagi... Sedikit sekali usaha dakwahku untuk menyambung perjuanganmu... Sungguh banyak sekali aku menzalimi diri sendiri... Terasa rindu sekali hati ini padamu tatkala melihatmu melangkah pergi... Maafkan aku kerana aku bukan ummatmu yang baik... Maafkan aku jika aku jarang sekali mengingatimu sedangkan aku tahu kau terlalu menyayangi kami sehingga ke akhir nafasmu kau menyebut kami... Maafkan aku jika terlalu sedikit selawat yang kuhadiahkan padamu... Ya rasulullah, wahai kekasih Allah, sesungguhnya hati ini sepi tanpamu... Kasihmu begitu agung... Sesungguhnya aku merinduimu :,(

Yang Terlupakan

Usai solat Isyak, aku segera mencari handphoneku. Memandang skrin sambil tersenyum. Mesej daripadanya sentiasa membuatku tersenyum sedang hati berlagu riang. Beberapa jam tanpa mesej mahupun panggilan darinya membuatkan aku merasa tidak keruan. Bagaikan semuanya serba tidak kena bagiku. Dialah yang mewarnakan hidupku sehari-hari. Dialah yang aku tunggu-tunggu selama ini dalam hidupku. Senyuman mekar sentiasa menghiasi wajahku setiap kali dia bermain difikiranku. Rasa dihati yang berbunga-bunga seolah-olah tiada apa lagi yang perlu difikirkan selain dia. Bahagianya kurasa tika dia hadir dalam hidupku bahkan menjemput aku ke dalam hidupnya. Namun, kadangkala bila dia mengungkapkan kata-kata cintanya padaku, aku seperti merasa ingin menangis. Aku pasti ia bukan kerana terharu tetapi ada sesuatu perasaan yang begitu menusuk kalbuku. Perasaan yang membuatku kadangkala jadi sedih tanpa sebab yang pasti. Pun begitu,aku biarkan sahaja perasaan itu pergi sendiri…

Petang-petang begini terasa ringan pula tanganku mengemas susunan buku-buku kepunyaanku. Sedang leka membelek-belek buku-buku, aku terpandangkan sebuah buku nota kecilku. Lama merenung, perlahan-lahan aku menyelak helaiannya. Segera ingatanku berputar ligat,inilah kehidupanku dulu. Ya, dulu aku ke sana ke mari dengan nota kecil ini. Mencatat setiap yang aku dengar yang pastinya sangat berguna dan bermakna. Jauh lebih bernilai dari panggilan-panggilannya. Jauh lebih bermakna dari mesej-mesej cintanya. Jauh…ya,jauh rupanya telah aku melangkah. Hatiku diserbu kerinduan. Aku rindu peringatan-peringatan yang dulu selalu kudengar, rindu pada tarbiah yang dulu mengelilingiku, rindu pada kerja-kerja yang dulu menyibukkanku… Sungguh, air mata ini juga sudah lama tidak mengalir. Betapa itulah kehidupanku dulu dan nota kecil inilah yang telah mencatat segala-galanya tentang sebuah perjalanan yang pernah kulalui dulu. Ya Allah, aku rindu…

Aku ingin sekali kembali pada diriku yang dulu. Rupanya hati ini rindu pada diri sendiri. Aku sedar aku bukanlah sebaik sahabat-sahabatku, tapi setidaknya aku cuba memperbaiki diriku, tidak seperti sekarang… Cinta yang hadir membuatku terlupa pada Dia yang menganugerahkan cinta itu. Aku lupa kasihNya yang lebih dulu dan sentiasa bersamaku di saat aku terasa kesendirian. Aku lupa kekasih sejati itu… Ya Rahman, bantulah aku mencari jalan pulang kepadaMu…Sungguh, aku ingin kembali kepadaMu lagi…..

Saat itu...

Perlahan kubuka mata…

Serasa gelap keliling ini…

Dimanakah aku kini?

Kucuba paling ke kiri dan kananku…

Tapi aku tak bisa…

Sedang aku lelah,

Aku terdengar tangis di hujung penjuru…

Namun tak bisa kulihat…

Sejurus ada bacaan begitu mengalun…

Begitu aku sedar…

Lantas air mataku berderai…

Wajah-wajah terlintas dibayangan…

Masih ada maaf yang belum kuucap…

Masih ada khilaf yang belum kubetulkan…

Masih ada kewajipan yang tidak terlunaskan…

Inikah pengakhiranku…?

Tidak adakah kesempatan …

Buatku kembali lagi..?

Aku ingin sekali ucapkan maafku…

Aku ingin sekali perbetulkan khilafku…

Aku takut pertanyaanMu…

Lantaran kewajipan yang Kau beri telah kuabaikan…

Tiadakah kesempatan lagi untukku..?

Aku mohon ya Allah…

Kurniakan aku kesempatan itu……….


“Demikianlah keadaan orang yang tidak beriman, hingga apabila datang kematian kepada seseorang di antara mereka, dia berkata: Ya Tuhanku,kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku bisa berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan…”(Surah almu’minun 23: 99-100)

NA’UZUBILLAH….

KITA & VIVA

Menanti saat untuk viva semestinya menggerunkan kebanyakan pelajar tahun akhir…lebih-lebih lagi aku… Sejenak aku berfikir, sebenarnya viva tidak jauh bezanya dengan satu masa yang akan kita semua tempuhi nanti…masa apa?saat di mana kita ditanyakan setiap perbuatan kita di dunia nanti….Bila viva, kita akan disoal satu-persatu setiap lembaran yang telah kita siapkan bertungkus-lumus itu… Saat itu kita terpaksa menjawab segala apa yang telah kita buat dan setiap satunya kita kena bertanggungjawab… Tidak jauh bezanya dengan saat kita dipersoalkan mungkar dan nangkir di alam barzakh nanti kan?? Setiap apa yang kita buat di dunia akan dipersoalkan…apa yang kita buat dengan umur yang kita ada?apa yang kita buat dengan harta yang kita ada?Apa yang kita buat dengan tubuh badan kita yang cukup sempurna Dia kurniakan?adakah kita telah melakukan amal dengan umur, tubuh badan dan harta yang telah dikurniakan kepada kita?adakah kita mensia-siakan umur, tubuh badan dan harta yang kita ada dengan perkara yang tidak berfaedah?...dan saat itu pun kita harus menjawab segala persoalan yang diajukan kepada kita…

Tetapi, tahukah sahabat-sahabat sekalian apa bezanya?? Bezanya bila kita membuat kesilapan dalam projek penyelidikan tahun akhir kita, kita masih boleh membuat pembaikan semula setelah kita dipersoalkan semasa viva…tetapi bagaimana jika kita membuat kesilapan di dunia dan hanya menyedarinya setelah di alam barzakh??KITA TIDAK MAMPU BERBUAT APA-APA LAGI… Nauzubillah…Saat itu kita hanya mampu menyesalinya sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran:

“Dan alangkah ngerinya jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka lalu berkata: Ya Tuhan kami,kami telah melihat dan kami telah mendengar , maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan melakukan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin..” (Surah AsSajdah 32:12)

Semoga kita semua dijauhkan daripada menjadi golongan di atas,amin…Justeru,sahabatku sekalian marilah kita sama-sama muhasabahkan diri dengan segala apa yang telah kita lakukan sepanjang kita berada di atas muka bumi ini…mungkin esok,lusa ataupun sekejap lagi kita bakal dijemput pergi… Perbetulkanlah diri kita lebih baik dari sebelumnya agar tiada lagi penyesalan di sana nanti,amin...

-Buat diri sendiri dan sahabat-sahabat-