Yang Terlupakan

Usai solat Isyak, aku segera mencari handphoneku. Memandang skrin sambil tersenyum. Mesej daripadanya sentiasa membuatku tersenyum sedang hati berlagu riang. Beberapa jam tanpa mesej mahupun panggilan darinya membuatkan aku merasa tidak keruan. Bagaikan semuanya serba tidak kena bagiku. Dialah yang mewarnakan hidupku sehari-hari. Dialah yang aku tunggu-tunggu selama ini dalam hidupku. Senyuman mekar sentiasa menghiasi wajahku setiap kali dia bermain difikiranku. Rasa dihati yang berbunga-bunga seolah-olah tiada apa lagi yang perlu difikirkan selain dia. Bahagianya kurasa tika dia hadir dalam hidupku bahkan menjemput aku ke dalam hidupnya. Namun, kadangkala bila dia mengungkapkan kata-kata cintanya padaku, aku seperti merasa ingin menangis. Aku pasti ia bukan kerana terharu tetapi ada sesuatu perasaan yang begitu menusuk kalbuku. Perasaan yang membuatku kadangkala jadi sedih tanpa sebab yang pasti. Pun begitu,aku biarkan sahaja perasaan itu pergi sendiri…

Petang-petang begini terasa ringan pula tanganku mengemas susunan buku-buku kepunyaanku. Sedang leka membelek-belek buku-buku, aku terpandangkan sebuah buku nota kecilku. Lama merenung, perlahan-lahan aku menyelak helaiannya. Segera ingatanku berputar ligat,inilah kehidupanku dulu. Ya, dulu aku ke sana ke mari dengan nota kecil ini. Mencatat setiap yang aku dengar yang pastinya sangat berguna dan bermakna. Jauh lebih bernilai dari panggilan-panggilannya. Jauh lebih bermakna dari mesej-mesej cintanya. Jauh…ya,jauh rupanya telah aku melangkah. Hatiku diserbu kerinduan. Aku rindu peringatan-peringatan yang dulu selalu kudengar, rindu pada tarbiah yang dulu mengelilingiku, rindu pada kerja-kerja yang dulu menyibukkanku… Sungguh, air mata ini juga sudah lama tidak mengalir. Betapa itulah kehidupanku dulu dan nota kecil inilah yang telah mencatat segala-galanya tentang sebuah perjalanan yang pernah kulalui dulu. Ya Allah, aku rindu…

Aku ingin sekali kembali pada diriku yang dulu. Rupanya hati ini rindu pada diri sendiri. Aku sedar aku bukanlah sebaik sahabat-sahabatku, tapi setidaknya aku cuba memperbaiki diriku, tidak seperti sekarang… Cinta yang hadir membuatku terlupa pada Dia yang menganugerahkan cinta itu. Aku lupa kasihNya yang lebih dulu dan sentiasa bersamaku di saat aku terasa kesendirian. Aku lupa kekasih sejati itu… Ya Rahman, bantulah aku mencari jalan pulang kepadaMu…Sungguh, aku ingin kembali kepadaMu lagi…..

0 comments: