Dia menangis
lagi untuk kesekian kalinya. Sungguh dia tidak pernah menyangka perkara itu
akan terjadi. Lelaki yang ditunggunya selama lima tahun dengan setianya sanggup
meninggalkannya begitu sahaja. Dia tertanya-tanya dimana salahnya. Sudah puas
dia meminta maaf meskipun tidak tahu dimana silapnya, tidak rela melepaskan
lelaki itu pergi. Dulu dia pernah melepaskan lelaki itu kerana dia tahu waktu
itu usia terlalu muda dan perjalanan mereka masih jauh. Namun begitu, dia setia
menunggu lelaki itu selama lima tahun atas janji setia mereka. Tiada lelaki
lain dihatinya, tiada yang lain dipandangannya. Bukan tidak ada lelaki lain
yang mahu mendekati, cuma dia sahaja yang tidak sudi. Setelah lima tahun,
lelaki itu hadir lagi dalam hidupnya membawa cinta. Betapa bahagianya dia
menyambut kehadiran itu, mengharap impian cintanya berakhir dengan kebahagiaan.
Bahkan dia masih ingat bila lelaki itu mengakui pernah menduakannya dalam lima
tahun itu; namun kerana sayangnya, dia memaafkan khilaf itu. Bukan dia ingin
mengungkit, cuma tertanya-tanya besar sungguhkah salahnya sehingga tiada peluang
kedua untuknya? Jauh lebih besarkah daripada khilaf menduakan yang pernah
dilakukan lelaki itu? Hanya air mata yang mampu mengumbarkan segala persoalan
dihatinya. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan dari bibirnya tika ini.
Seketika dia
membuka matanya, masih ada air mata yang bersisa dipelupuknya. Dia memandang
jam di sisinya, masih belum masuk waktu subuh lagi. Dia bangun menuju ke bilik
air untuk berwudhu’. Usai solat sunat, dia duduk di atas sejadahnya. Air mata
mengalir lagi dan kali ini lebih laju. Seingatnya, sudah lama dia tidak
bertahajjud begini. Setiap malamnya dia tidur lewat kerana asyik bertelefon
dengan lelaki itu. Setiap solatnya menjadi ringkas kerana bergegas untuk
membalas sms lelaki itu. Alquran di tangannya sudah lama tidak ditatapnya. Air
matanya masih belum mahu berhenti mengalir. Di sebalik kesedihan itu, ada
sebuah perasaan tenang yang menyerbu benaknya. Ketenangan yang sukar
digambarkan. Benar kataNya:”…hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi
tenang”(ArRa’d: 28). Sudah terlalu lama dia menjauh dariNya. Kerana cinta
manusia, dia lupa cintaNya. Cinta kekasih agung yang tidak pernah hilang
meskipun kita lalai, yang tidak pernah pergi meski kita lari, dan yang tidak
pernah padam meski kita abaikan. Sesekali tangannya menyapu air mata yang masih
mengalir tiada henti. Benar kata-kata yang pernah didengarnya, ketika satu
pintu kebahagiaan ditutup ada pintu kebahagiaan lain yang terbuka, cuma manusia
selalunya memandang pintu yang tertutup itu terlalu lama sehinggakan tidak nampak
pintu lain yang terbuka. Di saat dia
kehilangan cinta manusia, dia dapat kembali nikmat cintaNya. Barangkali Allah
mengambil orang yang kita sayang dari sisi kita kerana tidak mahu kasih kita
terkurang buatNya. Sejenak itu senyumannya terkuntum. Terima kasih Allah, atas
kasihMu yang tiada henti untukku. Terima kasih kerana memanggil aku kembali ke
sisi cintaMu setelah jauhnya aku kelana. Aku tidak mahu jauh dariMu lagi ya
Allah, desis hatinya.
* * * * *
Petang itu, dia
ke bandar untuk membeli beberapa keperluan sambil ‘mencuci mata’ di kompleks
membeli-belah bersama sahabatnya. Setelah beberapa bulan sibuk bekerja, masa
luang begini tidak disia-siakannya. “Ain!” Dia memandang sekelilingnya, mencari
sang pemilik suara. Tiba-tiba dia terlihat seseorang tidak jauh darinya. “Apa khabar? Sudah lama saya cari Ain…” lelaki
itu bersuara. “Kenapa cari saya?”soalnya tenang. “Nurul Ain, maafkan saya…Saya
menyesal atas semua yang saya lakukan pada Ain. Saya sedar saya tak akan jumpa
perempuan yang lebih baik untuk saya selain awak” suara lelaki itu kedengaran sedikit
bergetar. “Saya sudah lama maafkan awak…saya harap awak pun maafkan semua
kesalahan saya pada awak” katanya dengan suara sedikit bergetar, mengenang dosa
silamnya melalaikan seorang lelaki. Lelaki itu mengangkat wajahnya memandang
Ain, “sudikah awak menerima saya lagi?” Ain tahu hari seperti ini akan tiba
suatu hari nanti, hari dimana lelaki itu menyesali kesilapannya. Cuma dia tidak
menyangka bahawa hari itu adalah hari ini. “Tapi awak silap, hanya Dia sahaja
yang menentukan siapa yang lebih baik untuk kita, bukan diri kita sendiri. Bila
Allah ambil sesuatu yang kita sayang, sebenarnya Dia nak berikan kita sesuatu
yang lebih baik,” katanya lembut. Lalu dia menghulurkan sesuatu kepada lelaki
itu sebelum berlalu.
Lebih kurang dua
minggu lagi dia akan melangsungkan perkahwinannya bersama seorang lelaki.
Seorang lelaki yang dia tahu mampu membawanya kepada cintaNya. Seorang lelaki
yang mahu menjadikannya seorang isteri, bukan teman wanita. Seorang lelaki yang
menemui ibu bapanya untuk menyuntingnya, bukan menemui dia untuk mengemis
cintanya. Seorang lelaki yang mengajaknya bernikah, bukan bercinta.
Sesungguhnya kita merancang, Tuhan juga merancang; tetapi Dialah sebaik-baik
perancang. Sesungguhnya Allah telah memberikan ganti kepadanya seseorang yang
jauh lebih baik. Seseorang yang tidak pernah dibayangkannya. Segala puji buatMu
diatas segala nikmat yang terhingga. Sesungguhnya bahagia itu dariNya, dan
hanya dengan redhaNya bahagia itu bersama kita... :)
0 comments:
Post a Comment