“Setiap yang berlaku ada hikmahnya”
Ayat yang biasa kita
dengar dan selalu diucapkan…tapi benarkah dihayati? Saya kira semua tahu makna
ayat tersebut. Namun kadang-kadang bila musibah melanda kita, kita seakan tidak
pernah mendengar ayat ini. Bila ada yang cuba menenangkan dengan kata-kata
nasihat, kadangkala terngiang-ngiang kata-kata “awak tak faham keadaan saya” di
dalam otak kita. Ya, memang tidak semua orang berada dalam situasi yang kita
alami dan mungkin tidak semua orang mengerti apa yang kita rasa. Begitupun,
tidak mustahil ada orang di luar sana mengalami situasi yang sama dan ada
mereka yang merasakan apa yang sedang kita rasakan. Bahkan adalah sangat
mungkin ada mereka-mereka yang menghadapi masalah yang jauh lebih besar
daripada kita.
Pernahkah anda
terfikirkan tentang kisah hidup seekor tiram? Seekor tiram harus menahan
tajamnya pasir-pasir yang menusuk ke tubuhnya selama bertahun-tahun sebelum
tiram itu akhirnya menghasilkan sebuah mutiara. Ya, MUTIARA TERHASIL SELEPAS
KESAKITAN BEBERAPA LAMA. Allah membiarkannya kesakitan beberapa lama sebelum
menjadikannya tiram yang istimewa dengan adanya mutiara padanya. Maka tidak
mustahil kesakitan, penderitaan dan segala kesusahan yang kita hadapi sekarang
akan menghasilkan kegembiraan buat kita suatu hari nanti. Bukan saja-saja Dia
membiarkan kesakitan dan kesusahan kepada kita melainkan kerana telah Dia
sediakan hadiah yang lebih baik untuk kita.
Sewaktu peperiksaan,
bukankah guru-guru membiarkan kita terkontang-kanting menjawab soalan tanpa
dibantunya? Namun, bila kita berusaha menempuhinya kita diberi ganjaran dengan
gelaran pelajar cemerlang. Lupakah anda? Allah tidak sesekali mensia-siakan
hambaNya. TAKKAN. Tika kesusahan hidup di dunia menghimpit dan anda terasa
sakit, ingatlah HIDUP INI CUMA SEMENTARA. Lebih baik susah di dunia yang
sementara daripada kesusahan di akhirat sana. Kesenangan di dunia tidak
menjamin kesenangan kita di sana. Malah, takut-takut kesenangan dunia membuat
kita lupa kepada kehidupan kekal di sana. Oleh itu, marilah kita jalani hidup
di dunia ini sebaik-baiknya sebagai hambaNya meskipun payah. Usahlah kita lupa
bahawa tujuan hidup di dunia ini adalah beribadah kepadanNya. Bukankah Dia
telah berfirman:
“Tidak Aku jadikan jin
dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat: 51)
Yakinlah pasti ada
bahagia untuk anda, tidak sekarang pasti suatu hari nanti….Tidak di dunia,
pasti di sana…Selagi kita yakin rahmatNya… selagi kita berusaha menjadi
hambaNya sebaiknya… Selagi kita yakin bahawa kesusahan yang kita hadapi saat
ini bukanlah hukuman buat kita, bahkan tanda kasihNya… Tidak mahukah anda
menjadi hambaNya yang istimewa sebagaimana istimewanya tiram dengan mutiara?
Marilah kita bersama menjadi hambaNya yang baik bukan sahaja kerana Dia Tuhan
kita tetapi kerana kasihNya buat kita yang tidak pernah putus…JANGAN BERSEDIH KERANA
DIA TIDAK PERNAH MENINGGALKANMU!
0 comments:
Post a Comment