Smile, you
Aku memandang langkahnya yang longlai. Wajahnya penuh dengan kesedihan, meskipun sedaya upayanya diselindung. Aku tahu betapa dia menahan empangan air matanya daripada pecah. Aku tahu betapa dia cuba menguatkan langkah kakinya. Aku bukan tidak tahu dukanya, pun juga bukan aku tidak mahu membantunya. Namun, tiada yang mampu aku lakukan melainkan sekadar pendengar setianya serta mendoakan yang terbaik buat dia. "Maafkan aku,sahabat.." hanya itu yang mampu kuulang di dalam hatiku berkali-kali. Kadangkala saat dia meluahkan dukanya padaku, tiada yang mampu kukatakan. Serasaku segala kata-kata semangat yang aku mampu beri, telah ku ucapkan sehinggakan aku kehilangan kata-kata.
Sungguh, aku juga pernah merasa kecewa. Aku juga pernah merasa duka. Meskipun situasi kita hadapi berbeza, aku tahu definisinya kecewa itu, juga kufahami sekali maknanya duka itu. Kadangkala meskipun kita tahu kecewa dan duka itu ujian, namun kita seakan terlupa itu tanda kasihNya hingga kita menangis mempersoalkan takdir kita. Meskipun kita tahu, begitu banyak ayat-ayat cintaNya, tapi kita seakan terlupa bahawa Dia berfirman: "Takkan Aku membebankan seseorang melainkan dengan kemampuannya" (2:286).
Aku yakin kau mampu, sahabat..kerana itu Dia memberikan ujian itu kepadamu dan bukan kepadaku ataupun orang lain. Aku yakin kau juga ingat firmannya: "Barangkali kau membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu dan barangkali kau menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagimu" (2:216). Siapa tahu, satu hari nanti kau akan mengenang musibah ini dan tersenyum lalu mengatakan, "Alhamdulillah, aku pernah lalui itu dan menjadikan aku begini hari ini". Kerana kebanyakan kita berkembang melalui masalah yang kita hadapi, dan bukannya dengan kesenangan.
Sahabatku, teruslah tersenyum walaupun saat ini hatimu terluka. Teruslah gagahkan kakimu, meskipun saat ini kau dilanda kecewa. Aku mungkin tidak mampu membantumu, tetapi Allah pasti membantumu dan bersamamu sentiasa. Saat kau merasakan hatimu tidak lagi bertahan, menangislah kepadaNya..Saat langkah kakimu mulai terasa lemah, bersujudlah kepadaNya.. Saat tiada lagi kata yang mampu kau ucapkan, berdoalah kepadaNya.. Dia pasti ada jalan keluar untukmu. PASTI.
Air mata Perpisahan...
Menelusuri hari demi hari
Bersamamu
Tanpa ku sedari
Kian menghampiri waktu itu
Bahagianya aku bersamamu
Terisinya hidupku denganmu
Namun pantasnya berlalu
Waktu meninggalkanku
Inginku menahan pergimu
Inginku merayumu membawaku
Membawa pergi bersamamu
Pergimu memanggil piluku
Mungkinkah kita kan bertemu?
Bertemu lagi dalam hidupku
Mungkinkah ini terakhir kaliku?
Tiada lagi kau kutemu
Aku tak ingin perpisahan ini
Kau pasti kurindukan
Kuharap bermakna pertemuan ini
Duhai Ramadhan... :'(
Setiakah dikau...?
Kesetiaan seringkali dikaitkan
dengan perhubungan cinta dan persahabatan. Memang tidak dinafikan, kesetiaan
merupakan elemen penting dalam kedua-dua perhubungan ini. Tanpa kesetiaan
percintaan dan persahabatan tidak akan ke mana. Tetapi pastikah semua dari kita
benar-benar tahu apa itu makna kesetiaan? Barangkali kita boleh mempelajari
makna kesetiaan daripada kisah seekor anjing.
Suatu ketika dulu, seekor anjing meredah dingin pagi mengekori langkah
tuannya menuju ke stesen keretapi. Hari itu tuannya bertolak ke luar kota atas
urusan penting. Sebelum melangkah naik ke dalam perut kereta api, tuannnya
sempat membelai-belainya sambil anjing tersebut menjilat-jilat tangan tuannya.
Keesokannya, anjing tersebut meredah kedinginan pagi sekali lagi menuju ke stesen
kereta api untuk menyambut kepulangan tuannya. Setibanya kereta api, anjing
tersebut mencari-cari wajah tuannya dicelah-celah penumpang yang ramai.
Beberapa lama mencari, wajah yang dicari tidak ditemuinya. Anjing tersebut
pulang kehampaan. Esoknya, anjing tersebut sekali lagi meredah dinginnya pagi
menuju ke stesen kereta api bagi menyambut tuannya. Bagaimanapun, sekali lagi
anjing tersebut hampa. Begitulah juga hari-hari berikutnya sehingga anjing
tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir di stesen kereta api tersebut,
namun tuannya tetap tidak kunjung tiba. Sebenarnya tuannya telah menghembuskan
nafas terakhir di luar kota akibat serangan jantung dan dikebumikan di situ...
Setianya seekor anjing kepada tuannya, kerana dia tahu dia lebih
beruntung diambil tuannya. Diberikannya tempat tinggal dan makanan setiap hari.
Setianya seekor anjing, tetap bersungguh berkhidmat kepada tuannya menjaga
rumah daripada bahaya meskipun anjing itu cuma diberi makan dua kali sehari dan
tinggal di luar rumah yang kadangkala panas dan kadangkala kedinginan. Namun,
malangnya kita manusia yang Allah berikan tempat tinggal yang melindungi kita
dari hujan dan panas serta makanan yang begitu banyak tidak sesetia itu kepada
Tuhan kita. Amanah yang diberikanNya kepada kita, tidak pula dilakukan dengan
baik tetapi amanah manusia lebih dipentingkan. Banyak sekali dari kita yang
datang ke pejabat pada awal waktu, tetapi sedikit sekali dari kita solat pada
awal waktu. Berapa banyak ibu bapa yang melakukan tugas kerjaya dengan bersungguh-sungguh,
tetapi sedikit sekali yang menjaga tanggungjawab sebagai ibu bapa yang
dikurniakanNya.
Begitu juga dengan remaja masakini, ramai sekali yang setia kepada
kekasih tidak halalnya sehingga sanggup berkorban segala-gala, namun sedikit
sekali yang berkorban nafsu remajanya demi Kekasih Abadi. Berapa ramai yang
menjadi hamba fesyen, malangnya sedikit sekali yang menyahut suruhanNya menutup
aurat. Berapa ramai yang membuang masa ke sana sini bersama kekasih tidak
halalnya, tetapi sedikit sekali yang mengisi masa dengan mencari ilmuNya.
Nauzubillah… Ayuhlah kita semua menjadi hamba yang setia kepada Sang
Pemiliknya. Kerana kita ini miliknya. DariNya kita datang, kepadaNya kita
kembali… Dan bahawasanya dunia fana ini cumalah sementara…..
"Aku belajar tentang taqwa melalui kesetiaan seekor anjing terhadap tuannya"(Saidina Ali)
K.O.S.O.N.G
Jemari di tangan seakan membatu
Tiada yang terlukis
Tiada yang tertulis
Tarian jemari seakan kaku
Jemari itu…
Dulu tariannya ligat
Dulu tariannya laju
Namun kini seakan
tersekat…
Mungkinkah jemari itu yang layu?
Ataukah hati yang kosong?
Ataukah minda yang menerawang berbatu?
Ataukah masa yang tak terluang?
Segarkanlah tarianmu jemari
Isikanlah kekosonganmu hati
Kembalilah wahai minda
Pulangkan semua yang dulu ada…
Kita, Dia & Dinding
Hani memandang sahabatnya yang berada di sisinya. Dia sedang
asyik memandang skrin komputer ribanya dengan wajah yang sedikit berkerut,
seolah-olah memikirkan sesuatu.
Hani: Kenapa buat muka macam tu?
Rina: Apa pandangan Hani bila
lihat kawan-kawan yang gemar post doa
dalam facebook?
Hani: Hani rasa itu satu cara
yang baik untuk ajak kawan-kawan lain mengamalkan doa. Lebih-lebih lagi doa amalan Rasulullah S.A.W..
Rina: Ya, memang sangat baik
kalau berkongsi doa-doa lebih-lebih lagi doa amalan nabi kita. Tapi, apa yang
Rina lihat sejak akhir-akhir ini ramai yang post
status seolah BERDOA KEPADA DINDING (wall).
Hani: Maksud Rina?
Rina: Ramai kawan-kawan yang Rina
lihat, contohnya bila dalam kesedihan akan post status berbunyi seperti - ‘Ya
Allah, tabahkan hatiku’. Kalau kita minta pada Allah, wajarkah kita paparkannya
untuk tatapan umum dalam wall facebook?
Hani: Mungkin mereka ingin doa
mereka diaminkan kawan-kawan?
Rina: Jika begitu niatnya, memang
tidak salah. Tapi, bukankah lebih baik kalau kita minta terus pada Allah? Tak
perlu post dalam facebook. Apa yang Rina takutkan, manusia LUPA MEMINTA KEPADA
ALLAH. Setiap kali ditimpa ujian, TAKUT-TAKUT DINDING(WALL) ITULAH TEMPAT PERTAMA CURAHAN HATI MANUSIA.
Hani: Betul juga tu, Rina. Hani
tak pernah terfikir hal sebegitu. Bahkan, takut-takut doa itu menjadi amalan
riak untuk tatapan manusia semata. Na’uzubillah.
Rina: Semoga kita semua
dijauhkan.
“Hanya kepadaMu kami menyembah,
dan hanya kepadaMu tempat kami meminta
pertolongan” (AlFatihah: 5)
p/s: Doa itu hanya kepadaNya.
Jika doa kita post dalam facebook, doa itu minta pada siapa?
Allah, manusia, ataupun dinding (wall)?
Jom koreksi diri :)
Subscribe to:
Posts (Atom)