CoReTaN InSaN TeRLuKa




“Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati tiada siapa yang tahu…”

Pastinya semua orang pernah merasa terluka kerana perbuatan atau sikap insan yang kita sayangi. Kerana hanya kata-kata dan perbuatan orang yang istimewa di hati kita yang akan berbekas di hati. Luka di hati kadangkala memakan masa yang terlalu lama untuk sembuh.  Sakitnya terasa amat pedih, sehinggakan kadangkala kita menitiskan air mata berkali-kali mengenangkan perkara yang melukai hati kita itu. Namun, kadangkala luka di hati yang masih terasa itu bukanlah disebabkan kita masih memendam kebencian kepada si penoreh luka, akan tetapi mungkin tanpa kita sedari sebenarnya luka itu masih terasa kepedihannya dek kerana hati kita tidak mampu memaafkan diri kita sendiri. Ya, kita tidak mampu memaafkan diri kita sendiri kerana membenarkan diri kita dilukai. 

Kitalah yang membenarkan diri kita bersedih kerana perbuatan orang lain. Kitalah yang membenarkan hati kita mempercayai orang yang salah. Kitalah yang menyimpan harapan tinggi kepada orang yang tidak sepatutnya. Kitalah yang memilih untuk membenarkan insan itu mendapat tempat di hati kita untuk pada akhirnya meninggalkan parut di hati kita. Sama ada sedar atau tidak, sama ada kita ingin menerima atau tidak, hakikatnya kitalah salah satu penyumbang besar luka di hati kita sendiri.  Namun, kita juga seharusnya tahu bahawa luka itu juga ada manfaatnya untuk kita, kerana sesungguhnya setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. 

Setiap yang Allah ciptakan bukanlah suatu yang sia-sia, begitu juga dengan perasaan terluka. Melalui rasa terluka inilah kita menyedari bahawa kita ini hamba Allah yang kerdil, tiada siapa yang sempurna. Kerana rasa inilah kita akan ingat bahawa bukan manusia tempat pergantungan kasih kita, akan tetapi kepadaNya. Dan selalunya kerana rasa inilah yang memanggil kita kembali kepadaNya setelah lama terlalai dengan kebahagiaan yang fana. Usah sesekali kita menyesali apa yang telah terjadi, tetapi ambillah pengajaran daripadanya agar ianya tidak akan berulang lagi. Kerana rasa ini juga anugerah dariNya, titip kasih sayang dariNya. Dia ingin memanggilmu kembali ke sisiNya, kerana kau telah menjauh dariNya. Biarpun hadiah itu berbalut luka, namun isinya ada cinta yang indah. 

“Kemaafan mungkin terasa berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita, tetapi hanya dengan kemaafan sahajalah yang dapat mengubati hati kita yang terluka. Kemaafan seolah pisau bedah yang memotong parut luka emosi di hati kita”

Ayuhlah kita belajar memaafkan, tidak hanya kepada orang lain tetapi juga diri kita sendiri. Maafkanlah diri atas kesilapan yang telah kita lakukan, kerana melaluinya  kita belajar mana yang tidak patut kita lakukan. Dengannya kita mulai belajar mengenal yang mana kaca dan yang mana permata. Oleh itu, andai pedih luka itu mendatang  dan air matamu menitis lagi, letakkanlah tanganmu ke dada dan ucapkanlah :”Wahai hati, maafkan aku kerana melukaimu”. Lalu ukirlah senyumanmu dan pandanglah ke atas, ucapkanlah:”Terima kasih ya Allah kerana menghadiahkan rasa ini kepadaku” :’)